KOTA BHARU: Empat badan bukan kerajaan (NGO) mahu kerajaan Kelantan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan lebih telus dan komited dalam menyelesaikan masalah rakyat di negeri itu.

NGO itu ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (Serumpun).

Naib Yang Dipertua ABIM Kelantan Saifulnizam Muhamad berkata setakat ini, kerajaan negeri dilihat kurang serius dalam menangani permasalahan rakyat sehingga berlarutan dalam tempoh yang lama.

"Bahkan dalam beberapa kenyataan, angka yang disebut untuk menyelesaikan fasiliti tertentu sentiasa berubah-ubah selain tidak dibentangkan secara terperinci untuk difahami rakyat," katanya dalam sidang media mengenai Tuntutan Rakyat Kelantan Sempena PRN di sini semalam.

Lima perkara utama yang difokuskan dalam tuntutan itu adalah meminta kerajaan menetapkan garis masa dan peruntukan yang tepat dalam menyelesaikan isu fasiliti dengan kaedah fiqh aulawiyah (utamakan yang penting), keberkesanan jawatankuasa perjuangan royalti minyak serta mengukur lantikan politik dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berdasarkan prestasi.

Selain itu, mereka juga meminta kerajaan negeri menyediakan pelan holistik alam sekitar terutama aspek pembalakan dan bencana banjir serta mengaplikasikan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 dalam pengurusan kerajaan yang masih beroperasi secara analog.

Saifulnizam berkata semua tuntutan daripada suara akar umbi itu didokumentasikan dan akan diserahkan kepada parti politik yang mengambil bahagian dalam PRN pada 12 Ogos ini untuk diimplimentasikan.

-- BERNAMA